Thursday, August 23, 2007

Ramai profesional Melayu mangsa diskriminasi




Ramai profesional Melayu mangsa diskriminasi


KUALA LUMPUR 23 Ogos – Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) hari ini mendedahkan ramai profesional Melayu mengadu kepada pertubuhan itu mereka sering menjadi mangsa diskriminasi dalam sektor swasta.
Pengerusinya, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, syarikat-syarikat swasta yang mendiskriminasi profesional Melayu banyak terlibat dalam bidang pembinaan, perakaunan dan juruukur.
‘‘Profesional Melayu yang membuat aduan kepada Gabem turut menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap kesukaran untuk mendapatkan pinjaman bank berbanding kaum-kaum lain,’’ katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Rahim menambah, kesanggupan kaum Melayu berkongsi kuasa politik dan pentadbiran negara selama ini tidak mendapat perkongsian yang setimpal dalam bidang perniagaan dan industri terutama dalam sektor swasta.
Katanya, bagi memastikan keharmonian dan kestabilan berpanjangan, konsep ‘kongsi kuasa dan kongsi kaya’ perlu menjadi landasan kukuh bagi pembinaan masa depan generasi sekarang.
Menurut beliau, Gabem sendiri sanggup bekerjasama sepenuhnya dengan badan-badan ekonomi bukan Melayu bagi menjuarai usaha menggalakkan interaksi dan integrasi ekonomi antara Melayu dan bukan Melayu.
‘‘Kita juga menggalakkan kerjasama penubuhan syarikat usaha sama tulen antara bumiputera dan bukan bumiputera.
‘‘Dalam konteks tender projek kerajaan, ia sebenarnya menjadi sumber utama atau peluang perniagaan untuk syarikat dan usahawan Melayu.
‘‘Ini kerana mereka (syarikat Melayu) sukar mendapat perniagaan atau peluang daripada sektor swasta yang dikuasai oleh syarikat bukan Melayu dan syarikat asing, baik dari segi khidmat profesional, pembekalan dan kerja subkontrak,’’ ujarnya.
Beliau memberitahu, kuasa membeli kaum Melayu di negara ini kira-kira RM9 bilion sebulan atau lebih RM100 bilion setahun daripada tiga juta isi rumah Melayu.
Katanya, keikhlasan dan keterbukaan pengguna kaum Melayu sewajarnya dibalas dengan kerjasama tulen daripada sektor swasta dengan memberi mereka peluang untuk bekerja dalam sektor swasta.

No comments: