Jangan rasa bersalah bela agama, bangsa
BATU GAJAH 12 Ogos – Pemimpin UMNO tidak perlu rasa bersalah dalam membela agama Islam dan nasib orang Melayu yang menjadi asas perjuangan serta tunjang kekuatan parti, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.
Beliau berkata, pemimpin UMNO perlu tegas dalam membela kedua-dua perkara itu kerana jika dibiarkan sebaliknya, orang Melayu akan terus ketinggalan dan ini akan melemahkan mereka.
‘‘UMNO memperjuangkan agama Islam dan membela orang Melayu tetapi secara tidak langsung kita membina masa depan negara.
‘‘Jika pemimpin UMNO tidak tegas membela orang Melayu, maka orang Melayu akan mencari parti yang lain,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Batu Gajah di sini hari ini.
Tambah beliau, parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak boleh mempertikaikan asas perjuangan UMNO itu dan perlu sedar bahawa parti ini menjadi kuat kerana membela agama Islam serta nasib orang Melayu.
‘‘Jika parti-parti komponen mengatakan UMNO tidak boleh membela agama Islam atau membela orang Melayu, maka ini akan melemahkan UMNO. Bila UMNO lemah, BN pun lemah dan apabila BN lemah, semua parti komponen juga akan lemah.
‘‘Asas ini tidak bermaksud UMNO tidak membantu kaum lain tetapi konsep inilah cara kita berparti dalam BN. MCA bertanggungjawab membela orang Cina, kita tidak pernah pertikai. Sama juga apabila MIC membela orang India,’’ katanya yang juga Menteri Besar Selangor.
Tegas beliau, UMNO akan terus membela nasib orang Melayu.
Mohamad Khir juga berkata, UMNO memerlukan pemimpin tidak apologetik (rasa bersalah) bagi menjayakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) terutamanya dalam merapatkan jurang pendapatan orang Melayu yang masih ketinggalan berbanding kaum lain.
Katanya, kalau dilihat daripada pendapatan per keluarga, orang Melayu hanya mencatat RM2,800 sebulan iaitu di bawah pendapatan keluarga nasional sebanyak RM3,300 sebulan sedangkan kaum Cina meraih purata lebih RM4,000 sebulan dan kaum India (RM3,200).
‘‘Bagi setiap ringgit yang orang Melayu dapat, orang Cina dapat RM1.64 dan orang India RM1.30. Jurang pendapatan penduduk bandar dan luar bandar lagi lebar, hari ini saya difahamkan setiap ringgit orang luar bandar dapat, RM2.90 orang bandar dapat,’’ katanya.
Tegas beliau, ini menunjukkan negara masih memerlukan DEB bukan sahaja untuk meningkatkan ekuiti orang Melayu tetapi lebih penting lagi bagi merapatkan jurang pendapatan antara kaum dan daerah.
No comments:
Post a Comment