Monday, August 20, 2007

Jangan tunduk -- Tuntutan tender terbuka MCA bercanggah dengan DEB


Jangan tunduk -- Tuntutan tender terbuka MCA bercanggah dengan DEB



Oleh AZMAN IBRAHIM
KUALA LUMPUR 20 Ogos – Ahli- ahli politik Melayu hari ini menggesa kerajaan tidak tunduk kepada tuntutan MCA supaya tender projek-projek kerajaan dibuat secara terbuka kerana permintaan itu bertentangan dengan semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Menurut mereka, dasar tender yang dilaksanakan kerajaan selama ini telah memberi banyak faedah yang turut dikongsi dan dirasai oleh semua kaum termasuk ahli-ahli perniagaan Cina.
Ahli-ahli politik Melayu yang membuat gesaan itu menegaskan, dasar tender kerajaan tersebut diasaskan daripada semangat kontrak sosial dan DEB.
Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad berkata, walaupun syarikat-syarikat bumiputera diberi kelebihan mendapatkan tender-tender kerajaan, namun syarikat-syarikat bukan bumiputera tidak terkecuali memperoleh faedah daripada sistem tender itu.
Beliau berkata, kontraktor bumiputera tetap memerlukan kerjasama syarikat-syarikat bukan bumiputera, khususnya syarikat-syarikat milik ahli perniagaan Cina, bagi mendapatkan bahan-bahan binaan dan peralatan-peralatan teknikal.
“Inilah yang dikatakan perkongsian dan ia harus diterima oleh semua rakyat sebagai sesuatu yang positif.
“Apa yang kita amalkan selama ini mewujudkan rangkaian nilai yang dapat membantu meningkatkan ekonomi negara dan dirasai oleh semua peringkat masyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini.
Shahrir mengulas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting semalam yang meminta kerajaan melaksanakan tender terbuka tanpa mengira kaum dengan mendakwa jika dilaksanakan langkah itu amalan ‘ali baba’ dapat dihapuskan dan akan mewujudkan persaingan yang lebih sihat dalam ekonomi negara.
Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar pula menegaskan, kerajaan sudah berlaku adil kepada syarikat bukan bumiputera, malah banyak syarikat bukan bumiputera jauh lebih maju dan mendapat peluang yang lebih banyak di negara ini.
Beliau berpendapat syarikat bukan bumiputera tidak boleh mempersoalkan hak dan kelebihan yang diperoleh oleh mana-mana syarikat bumiputera selama ini.
Dasar tender kerajaan itu, tegas Raja Ahmad Zainuddin, bertitik tolak daripada aspirasi DEB untuk mewujudkan keseimbangan ekonomi di kalangan masyarakat.
‘‘Apa salahnya syarikat bumiputera dapat tender daripada kerajaan? Syarikat bumiputera tidak bergerak sendirian. Mereka akan berkongsi perniagaan dengan syarikat-syarikat bukan bumiputera lain... ini sudah memadai dan adil,’’ ujarnya.
Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Datuk Roslan Awang Chik pula mendedahkan, syarikat bukan bumiputera sebenarnya memperoleh faedah yang lebih tinggi melalui tender yang diperoleh oleh syarikat bumiputera.
Beliau memberikan contoh bagaimana industri bahan binaan yang lazimnya dimonopoli oleh syarikat bukan bumiputera untung besar apabila kontraktor bumiputera memperoleh kontrak pembinaan daripada kerajaan.
“Kira-kira 60 peratus bisnes bahan binaan dikuasai oleh syarikat bukan bumiputera. Syarikat bumiputera membeli bahan binaan daripada mereka.
‘‘Ini membuktikan syarikat bukan bumiputera tetap menikmati faedah walaupun tender kerajaan diperoleh oleh syarikat bumiputera,’’ kata Roslan.
Pengerusi Biro Pengaduan Awam Pemuda UMNO, Datuk Subahan Kamal pula memberitahu, syarikat-syarikat bukan bumiputera juga banyak memperoleh tender kerajaan terutama dalam bidang elektronik, rangkaian telekomunikasi dan pembinaan jalan raya.
Justeru, katanya, adalah tidak adil jika pucuk pimpinan MCA meminta kesemua tender kerajaan dibuat secara terbuka sedangkan hak yang dinikmati oleh syarikat-syarikat bumiputera itu terlalu kecil.
‘‘Setakat ini sudah banyak syarikat konsesi swasta milik bukan bumiputera diberi peluang untuk menjalankan projek kerajaan dengan nilai projek yang besar.
‘‘Kerajaan sudah berlaku adil... saya menyifatkan permintaan Presiden MCA itu sebagai tidak kena pada masanya apatah lagi ketika negara bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-50 pada 31 Ogos ini,’’ ujarnya.
Ketua Pemuda UMNO Johor, Razali Ibrahim pula menyifatkan permintaan Ka Ting tidak kena pada tempatnya sedangkan beliau seharusnya mengambil kira banyak perkara terutama isu kepentingan masyarakat bumiputera di negara ini.
“Walaupun niat Presiden MCA itu baik iaitu menuntut hak persamaan, namun ada banyak perkara yang perlu dipertimbangkan seperti pencapaian ekonomi masyarakat bumiputera yang jauh lebih rendah daripada kaum bukan bumiputera.
‘‘Belum tiba masanya kita membuka tender projek-projek kerajaan secara terbuka,” katanya.
Menurut Razali, hak persamaan tidak boleh dilihat dari sudut ekonomi semata-mata.
‘‘Tuntutan hak persamaan perlu dilihat dalam konteks persefahaman dalam pembangunan masyarakat,’’ kata beliau.
Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub berkata, tuntutan daripada kaum bukan bumiputera mengenai sistem tender kerajaan tidak sepatutnya timbul.
Sebagai rakyat Malaysia, katanya, pemimpin-pemimpin MCA harus memahami semangat kontrak sosial yang menjadi asas perlembagaan negara.
‘‘Sebarang tuntutan oleh kaum bukan bumiputera seharusnya dikaitkan dengan semangat kontrak sosial, maknanya mereka perlu faham bagaimana bermulanya kewujudan negara ini.
‘‘Mereka juga perlu memahami semangat DEB,’’ kata Salahuddin.


http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0821&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

No comments: