Monday, August 20, 2007

Bahaya bermain api




Oleh AZMAN ANUAR (WARTAWAN UTUSAN)
Perkara bahasa Mandarin yang disyaratkan oleh syarikat swasta yang dimiliki kaum Cina dan tender kerajaan yang diberi kepada syarikat bumiputera agar dibuka tanpa mengira kaum boleh dilihat saling berkait antara satu sama lain - iaitu memastikan kaum Cina tidak rugi apa-apa.
Ketika tinggal 10 hari lagi negara akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-50, masalah bahasa dan ekonomi antara kaum nampaknya akan terus dibangkitkan.
Ini hakikat kerana kita belum mencapai sikap tolak ansur dalam erti kata yang sebenar.
Tatkala orang Melayu banyak berkorban demi memelihara perpaduan dan kesejahteraan masyarakat berbilang kaum di negara ini, tetapi ada satu pihak pula cuba mengambil kesempatan untuk mempertahankan hak-hak kaumnya.
Kita boleh lihat bagaimana reaksi persatuan-persatuan perniagaan kaum Cina terhadap gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya sektor swasta yang dikuasai kaum Cina membuka peluang pekerjaan kepada kaum Melayu dan India tanpa mengenakan syarat penguasaan bahasa Mandarin.
Sudah lama iklan jawatan kosong meletakkan syarat itu. Banyak pihak menganggapnya satu bentuk diskriminasi terhadap kaum lain serta rakyat yang tidak tahu berbahasa Mandarin.
Itulah liberalisasi yang diberi hingga majikan tidak memandang sebelah mata pun kedaulatan bahasa Malaysia.
Dengan amalan pengambilan pekerja daripada satu kaum sahaja menjadikan ia antara sebab meningkatnya kadar pengangguran di kalangan bumiputera.
Setelah 50 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan, pemilihan pekerja berasaskan bangsa dan bahasa tidak sepatutnya berlaku.
Sebab itu, Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Buruh mesti meneliti dengan serius mana-mana syarikat yang secara jelas meletakkan syarat yang berunsur perkauman ini.
Paling penting sekarang, pihak berkenaan ‘turun padang’ bagi memastikan budaya pengambilan berdasarkan satu kaum itu tidak berlaku.
Pengarah Pusat Pembelajaran Futuristik, Kreativiti dan Inovasi, Profesor Dr. Abdul Rahim Abdul Rashid yang ditemui Utusan Malaysia berpandangan adalah satu tanggungjawab sektor swasta yang dikendalikan kaum Cina untuk menyokong dasar-dasar nasional; terutama bahasa kebangsaan.
“Jika amalan ini diteruskan selepas ditegur oleh pemimpin tertinggi negara, ia menunjukkan pemikiran tertutup pengusaha Cina dari segi mempelbagaikan tenaga kerjanya,” kata beliau.
Prof. Abdul Rahim melihat, tidak elok pihak swasta mengamalkan dasar konfrontasi iaitu menentang dasar-dasar kerajaan dan dari sudut lain cuba menguatkan bahasa Mandarin di sektor bukan kerajaan.
Semangat
Hampir 80 peratus perniagaan dikuasai oleh peniaga Cina dan mereka seharusnya menunjukkan semangat Malaysia dan menyokong hasrat kerajaan dalam mendaulatkan bahasa Malaysia dengan mengambil pekerja yang juga terdiri daripada bukan Cina.
Jika ini dapat dilakukan, sektor swasta telah memainkan peranan positif merapatkan hubungan antara kaum.
Menurut Naib Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Datuk Hashim Suboh pula, gesaan Perdana Menteri supaya syarat penguasaan bahasa Mandarin dihapuskan adalah amat tepat dan wajar dilaksanakan serta-merta.
Ia akan memberi isyarat positif bahawa kaum Cina sentiasa bersikap terbuka dan akomodatif dalam agenda menyusun semula masyarakat.
Dalam Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-54 hujung minggu lalu itu juga masyarakat dapat membaca kata-kata lembut Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting yang mahu kerajaan melaksanakan tender terbuka tanpa mengira kaum.
Sejak dari dahulu, tidak ada Perhimpunan Agung MCA yang berakhir tanpa meminta itu dan ini daripada kerajaan. Sedangkan dalam masa tertentu, agak sukar kerajaan mendapat sokongan parti itu mengenai perkara yang melibatkan kaum Cina.
Dalam hal permintaan MCA supaya kerajaan membuka tender kepada semua kaum, Hashim yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Kangar, Perlis berpendapat ia adalah tuntutan yang belum sampai ketikanya lagi.
Prof. Abdul Rahim pula berpandangan, pemberian tender kepada bumiputera sebenarnya turut memberi keuntungan kepada bukan Melayu.
Banyak tender bagi projek yang bersaiz besar belum mampu dilakukan sendiri oleh kontraktor bumiputera.
Mereka terpaksa mengagih-agihkan subkontrak kepada bukan Melayu terutama kontraktor Cina.
Hakikatnya pengusaha Cina memiliki jaringan kerja yang kuat terutama dari segi kepakaran, pembekalan bahan, pemasaran, teknologi dan sebagainya.
Dalam keadaan ini, syarikat Melayu yang mendapat tender tidak banyak mengaut keuntungan sebaliknya ia lebih menguntungkan syarikat bukan Melayu.
“Ini hakikat, orang Melayu yang mendapat tender kerja daripada kerajaan akhirnya terpaksa mengagihkan tender itu kepada pengusaha Cina yang menguasai jaringan.
“Pegawai dan pekerja Melayu serta nama syarikat Melayu dipergunakan untuk mengayakan tauke Cina. Memang Melayu turut mendapat keuntungan, tetapi hanya secupak, Cina pula segantang,” komen Prof. Abdul Rahim.
Menguasai
Menurut bekas pensyarah Universiti Malaya itu lagi, jika dibuat perincian, syarikat Melayu jauh ditinggalkan di belakang. Dan jika kerajaan tunduk pada tuntutan ini, dibimbangi akhirnya yang menguasai ialah bukan Melayu dan Melayu hanya mendapat serpihan.
“Usaha untuk melahirkan usahawan Melayu tidak tercapai kerana bukan Melayu akan lupa untuk membantu usahawan Melayu.
“Selama ini pun, kebanyakan pengusaha Cina langsung tidak menunjukkan kesungguhan membantu Melayu dalam perniagaan sebaliknya memperkudakan untuk mendapat tender,” ujar Prof. Abdul Rahim.
Realitinya sejak Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan, tender-tender yang diberi kepada Melayu sebahagian besar pergi ke tangan bukan Melayu.
Ini bermakna tanpa MCA membuat usul membuka tender kepada semua kaum pun, pengusaha Cina sudah mendapat segala-galanya. Jika tender dibuka, apa yang tinggal untuk Melayu?
Menurut Hashim pula tender terhad adalah suatu proses ‘pembinaan dan penyusunan semula’ struktur ekonomi Malaysia yang perlu segera disempurnakan.
“MCA perlu menggesa komuniti perniagaan Cina supaya lebih komited, ikhlas dan agresif menjayakan agenda ekonomi nasional.
“MCA perlu membantu dan bukan sekadar memahami. Lebih cepat agenda ini dicapai, akan lebih segera wujud keterbukaan.
Bagaimanapun kaedah pemberian taraf bumiputera yang memberikan ruang penglibatan kepada bukan bumiputera adalah proses positif ke arah sistem tender yang lebih terbuka,” jelas Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kangar itu.
Pemimpin Melayu harus menghalusi usul MCA ini dan jangan mudah termakan sentimen bahawa kaum Cina juga ramai yang miskin.
Ramai tauke besar Cina sedia menghulur wang jika diminta membantu golongan miskin seperti ditunjukkan melalui Projek Langkawi dan lain-lain.
Apakah atas alasan kemiskinan kaum Cina itu maka tender kerajaan harus dibuka kepada semua kaum.
Apakah dorongan golongan miskin Cina untuk masuk merebut tender? Jadi di mana logik alasan Presiden MCA itu dengan menggunakan hujah kontrak sosial.
Pemimpin Melayu harus berhati-hati melihat implikasi masa depan dan perjuangan membela maruah kaum Melayu. Tuntutan kerajaan memberi tender tanpa mengira kaum yang ditonjol-tonjolkan oleh MCA ada implikasinya.


No comments: