Monday, August 20, 2007

Menyisih Generasi “Hantu” Sempena 50 Tahun Merdeka





Alasan 'jahil' bagi generasi muda untuk tidak menghormati legasi, simbol kedaulatan negara seperti 'lagu kebangsaan', bendera kebangsaan atau apa jua ikon yang mewakili kedaulatan, kewibawaan negara haruslah ditolak secara total.
Usia 50 tahun merdeka, sewajarnya menjadikan seluruh rakyat Malaysia memahami sejarah kelahiran negara.
Asal-usul perkembangan nasionalisme, perundangan dan perlembagaan negara. Isu sensitif berkaitan bahasa, budaya, agama, dan juga sepatutnya lebih responsif dan konstruktif dalam membina peradaban negara.
Bayangkan, jika dalam zaman ini, apabila seorang pencuri, dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mencuri barang di pasar raya, lantas, apabila diajukan persoalan kenapa mencuri?, lalu di jawab "saya jahil' dan tidak tahu yang mencuri itu salah.
Apakah jawapan ini membolehkan hakim membebaskan si pesalah tadi?.
Jika demikianlah sifatnya, maka, huru haralah negara ini. Setiap kaum bebas berbuat apa sahaja.
Tiada maknanya usaha pencegahan dalam bentuk akta dan undang-undang. Tidak perlu institusi penguatkuasa kerana tugas mereka akan menjadi kurang signifikan.
Kerana setiap kali mahu menguatkuasakan peraturan golongan ini akan berhadapan dengan suatu generasi baru yakni generasi hantu yang kononya jahil serba serbi meskipun mendapat pendidikan tinggi di luar negeri.
Generasi hantu ini jahil bercakap Bahasa Melayu, mereka merasakan bahasa ini hanya milik orang Melayu, sedangkan 'Bahasa Jiwa Bangsa' dan lingua franca berkenaan telahpun termaktub sebagai Bahasa Rasmi dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Generasi hantu ini juga jahil kerana mereka tidak pun pernah diajar, dididik akan sejarah negara, kurang mengerti 'sosial kontrak' yang telah dipersetujui antara pimpinan terdahulu.
Atas nama liberalisasi, "freedom of expression", "freedom of speech", agama orang lain, hak orang lain diperlekehkan, dipertikaikan.
Dasar-dasar negara yang selama ini membantu mereka, dianggap mendiskriminasikan kaum dan golongan tertentu.
Generasi ini, terus merasuk, mendakyah dengan mekanisme pelbagai, mengata dan mengaib dan mempromosikan budaya 'biadab', nilai 'kurang ajar'.
Mereka mempersendakan pemimpin, mengkesampingkan undang-undang, menghina simbol-simbol penting negara. Meracau dan mengilai tawa tanpa arah tujuan, hanya dengan satu matlamat. Agar semua yang lain percaya dan terpengaruh dengan 'rasukan' mereka itu.
Generasi hantu ini sebenarnya lebih merbahaya dari komunis yang gerakan mereka mudah dikesan dan dipantau.
Generasi hantu ini lebih canggih kerana mereka dilengkapi pelbagai alatan, dilindungi oleh kumpulan tertentu.
Generasi hantu ini juga, amat sukar dikenali kerana mereka hidup, makan, bergerak dan bersosial seperti manusia biasa. Hidup dekat dengan kita, menjadi sebahagian dari komuniti bangsa kita.
Generasi hantu ini tiada kerja lain, kerjanya hanya membuat kacau, menimbulkan keributan, merosak dan memecah keamanan kerana mungkin sifat ‘hantu' yang sentiasa inginkan permusuhan dan tidak boleh kekal dalam ketenangan.
Puncanya kerana 'roh dan jasad generasi hantu' itu sendiri tidak aman. Bukankah sifat 'hantu' suka menimbulkan ketakutan pada orang lain?.
Sebab itu, kita harus lebih berani, kerana 'hantu' amat suka pada orang yang takut.
Justeru dengan menjadi lebih berani, generasi hantu ini dapat kita sisihkan dari terus menjadi petualang dan membuat kacau di bumi Merdeka ini. Merdeka tetap terpelihara.

No comments: