Sunday, August 12, 2007

Peranan Gerak Gempur Pemuda Perlu Diperluas Ke Alam Siber



Oleh Indera Ahmad
Alor Gajah -- Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata definisi pasukan Gerak Gempur pergerakan itu perlu dikaji semula supaya tidak sekadar dilengkapi ‘senjata untuk berperang di bumi nyata’.
Jelas beliau peranan Gerak Gempur kini perlu diperluaskan merangkumi peperangan di alam siber memandangkan internet kini sudah dijadikan gelanggang perang baru oleh banyak pihak.
"Pemuda UMNO perlu berada di barisan depan untuk menentang idea bukan hanya menerusi perang mulut, malah perang saraf dan perang idea yang disebarkan menerusi alam siber.
"Internet sudah dijadikan gelanggang perang baru dan Gerak Gempur Pemuda UMNO harus menjelaskan isu sebenar dan menangkis fitnah disebarkan", katanya.
Beliau berkata demikian selepas menutup Kursus Gerak Gempur Pilihanraya Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan di Institut Latihan Usahawan (EDI), Durian Tunggal di sini, Ahad.
Justeru tambah beliau Pemuda perlu mempersiapkan jentera untuk berdepan dengan perang siber dan menjelaskan isu sebenar.
"Ini kerana orang muda kita tidak keluar sangat, lebih suka duduk dalam bilik melayari internet dan internet dijadikan tingkap mereka kepada dunia.
"Internet dunia hakiki mereka... mungkin bilangannya sekarang minoriti tetapi 20 tahun akan datang mereka akan jadi majoriti rakyat Malaysia," ujarnya.
Pada majlis itu juga beliau turut memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak UMNO sebagai parti yang mengamalkan semangat perkauman kerana parti keramat itulah yang selama ini menjadi tonggak menegakkan semangat perkongsian kuasa di negara ini.
Beliau berkata jika bukan kerana UMNO, semangat perkongsian kuasa dalam Barisan Nasional (BN) yang menyaksikan semua kaum mendapat tempat tidak akan berlaku.
"Kita amat terkilan apabila tindakan Ketua kita Datuk Seri Hishamuddin Hussein, menghunus dan mencium keris dijadikan isu menuduhnya sebagai perkauman dan benci kepada kaum lain.
"Keris adalah lambang kekuatan Melayu dan Pemuda UMNO. Ia motivasi kepada kita, bukan senjata untuk mengancam orang lain. Namun, perkara ini diputar belitkan dan dijadikan isu perkauman," katanya.

No comments: