KEPALA BATAS 12 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melancarkan Gerak Gempur Pergerakan Pemuda UMNO dan Gerak Kerja Pilihan Raya Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kepala Batas di sini bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Di seluruh negara, jentera gerak gempur pilihan raya UMNO sudah mula dilancarkan secara berperingkat-peringkat oleh para pemimpin parti itu.
Dalam ucapannya pada majlis pelancaran gerak gempur itu, Abdullah yang juga Presiden UMNO mengingatkan anggota-anggota sayap UMNO itu supaya bersiap siaga pada tahap yang efisien bagi menghadapi pilihan raya.
Beliau berkata, ahli-ahli Pemuda dan Puteri perlu bekerja keras menarik lebih ramai ahli baru dan seterusnya memastikan mereka menjadi pengundi bagi menjamin kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.
“Bagi ahli Puteri, inilah masa terbaik untuk mematangkan diri dalam politik sebelum mereka beranjak kepada Wanita UMNO satu hari nanti,” ujar beliau.
Perdana Menteri yakin program-program politik yang dijalankan oleh Pemuda dan Puteri mampu mengenal pasti dan menarik lebih ramai orang muda untuk bersama-sama UMNO dan BN.
“Walaupun Puteri UMNO boleh dikatakan baru tetapi mereka telah membuktikan bahawa pergerakan itu adalah tunjang kepada UMNO serta sebaris dengan Pemuda dan Putera,” kata Abdullah.
Pada majlis pelancaran Gerak Gempur Pemuda UMNO Kepala Batas yang diadakan di pekarangan Dewan Milenium di sini, Abdullah disambut kira-kira 2,000 anggota Pemuda.
Perdana Menteri yang juga Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas bersama-sama anggota gerak gempur itu yang diketuai Ketua Pemuda bahagian, Datuk Ahmad Darus menyanyikan lagu Negaraku sambil menaikkan Jalur Gemilang diikuti nyanyian lagu rasmi parti itu, Bersatu.
Sejurus kemudian beliau melancarkan pula Gerak Kerja Pilihan Raya Pergerakan Puteri UMNO bahagian itu yang diketuai oleh ketuanya, Azlina Mehtab Mohd. Ishaq.
Menurut Perdana Menteri, anggota kedua-dua sayap UMNO itu perlu berjuang bersungguh-sungguh untuk mengisi kemerdekaan negara.
Beliau yakin anggota Pemuda dan Puteri mampu memikul tanggungjawab tersebut dan sentiasa bersemangat menjayakan perjuangan parti dalam mengangkat martabat bangsa.
Spekulasi mengenai pilihan raya umum ke-12 semakin hangat sejak akhir-akhir ini selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa ia bersedia mengadakan pilihan raya selepas September ini manakala Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud pula meramalkan pilihan raya umum akan diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri pada Oktober ini.
Abdullah yang mengemudi kemenangan besar BN dalam pilihan raya umum ke-11 pada Mac 2004 mempunyai tempoh sehingga April 2009 sebelum mandat Parlimen berakhir.
Sementara itu, di ALOR GAJAH, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, gerak gempur Pemuda UMNO dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang bukan sahaja meliputi perkara fizikal, tetapi turut melibatkan aspek mental dan ilmiah.
Katanya, Pemuda UMNO mahu melahirkan ahli-ahli yang dapat melibatkan diri dalam debat, berceramah serta menjadi ahli panel dalam sesuatu sesi perbincangan.
“Perang politik hari ini bukan lagi berbentuk tradisional atau kerahan jentera seperti memasang poster dan menggantung bendera sahaja.
“Sekarang ia lebih kepada perang idea dan pendapat, serta bagaimana kita menangani isu-isu yang diutarakan pihak lawan. Kita mahu hasilkan ahli Pemuda yang berkualiti, bukan setakat ramai dari segi bilangan sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Kursus Gerak Gempur Pilihan Raya Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan di Alor Gajah hari ini.
Hadir sama ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Paduka Mohamad Norza Zakaria.
Khairy berkata, dengan lahirnya ahli-ahli Pemuda yang mampu berkomunikasi dan bijak mengutarakan pendirian parti, banyak isu yang dimainkan pembangkang akan dapat ditangkis dengan mudah.
“Isu keris seperti yang disebut-sebut (pembangkang) sekarang, umum mengetahui ia untuk memberi motivasi dan semangat kepada orang-orang Melayu, bukannya senjata untuk mengancam orang lain, tetapi perkara ini diputarbelitkan dan dijadikan isu perkauman oleh pembangkang.
“Oleh kerana tiada penjelasan dibuat, maka kita pada hari ini ada masalah untuk menanganinya. Jadi dengan adanya ahli Pemuda yang boleh menerangkan dengan baik, kita tak perlu lagi berdepan dengan semua itu,” jelasnya.
Beliau turut berharap agar rakan-rakan komponen Barisan Nasional (BN) akan sama-sama memainkan peranan dalam menjelaskan perkara itu.
Terdahulu dalam ucapannya, Khairy mengalu-alukan usaha ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mahu membubarkan cawangan masing-masing.
“Kepada mereka yang sudah sedar bahawa perjuangan PKR berbentuk peribadi semata-mata, saya alu-alukan anda untuk bubarkan cawangan. Anda dijemput untuk masuk UMNO semula.
“Tetapi kepada para pemimpin PKR, pintu UMNO tidak dibuka untuk anda,” tegasnya.
Sementara itu, Norza berkata, Pergerakan Pemuda Wilayah Persekutuan akan melancarkan gerak gempur siber bagi menangani penyebaran fitnah terhadap kerajaan yang kini berleluasa menerusi Internet.
Menurut beliau, perlu ada usaha untuk membetulkan semula kenyataan berunsur fitnah dalam blog-blog yang tidak bertanggungjawab itu.
“Ada pendapat yang menyatakan jika kita layan pemilik blog, ia bermakna kita memberi kredibiliti (kepada penulis blog) kerana ada pihak yang memberikan maklum balas.
“Namun pada masa yang sama terdapat juga pandangan yang menyatakan dengan tidak memberikan maklum balas, pemilik blog akan mengeluarkan lebih banyak kenyataan yang tidak betul,” katanya.
Mohamad Norza menegaskan, revolusi teknologi maklumat di negara ini sepatutnya adalah untuk mendidik masyarakat dan mengurangkan jurang maklumat antara penduduk, bukannya mendedahkan orang ramai dengan fitnah seperti yang terdapat dalam sesetengah blog.
Sunday, August 12, 2007
Gerak gempur dilancar -- Jentera pilihan raya UMNO mula digerakkan secara berperingkat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment