Sejak akhir-akhir ini, isu pembelaan terhadap agama Islam dan orang Melayu dilihat sebagai perjuangan bersifat perkauman dan mula dipertikaikan oleh banyak pihak. Hinggakan jika ada mana-mana pihak bercakap mengenai perjuangan Islam dan orang Melayu akan diserang sebagai menafikan hak agama dan kaum lain di negara ini. Isu-isu sensitif ini semakin kerap dimainkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab khususnya melalui tulisan dan komen yang mereka berikan di dalam portal berita serta blog. Malah ada yang melampaui batas mula menghina kesucian Islam dan orang Melayu. Menyedari hakikat ini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo mengingatkan bahawa perjuangan UMNO membela agama Islam dan orang Melayu tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak termasuk parti komponen Barisan Nasional (BN). Serentak dengan itu beliau berkata, pemimpin UMNO tidak perlu berasa bersalah terhadap kaum-kaum lain dalam membela agama Islam dan nasib orang Melayu kerana perkara berkenaan adalah asas perjuangan dan tunjang kekuatan parti. Katanya, pemimpin UMNO perlu tegas dalam membela kedua-dua perkara itu kerana jika tidak, parti akan menjadi lemah dan menyebabkan orang Melayu terus ketinggalan. “UMNO memperjuang agama Islam dan membela orang Melayu, tetapi secara tidak langsung kita membina masa depan negara. Jika pemimpin UMNO tidak tegas membela orang Melayu, maka orang Melayu akan mencari parti lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Batu Gajah, Perak hari Ahad. Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata, parti-parti komponen BN perlu sedar bahawa kekuatan dan sokongan terhadap UMNO selama ini ialah kerana parti itu berjuang untuk membela agama Islam dan orang Melayu. Dengan itu, parti-parti komponen BN diingatkan agar tidak mempertikai perjuangan UMNO tersebut. Tambahnya, jika ada parti-parti komponen BN mula terikut dengan rentak pihak yang tidak bertanggungjawab mempertikaikan perjuangan UMNO membela Islam dan orang Melayu, ini akan melemahkan UMNO dan jika UMNO lemah, ia turut akan melemahkan BN. “Ini tidak bermaksud UMNO tidak membantu kaum lain, tetapi inilah konsep kita berparti dalam BN. MCA bertanggungjawab membela orang Cina, kita tidak pernah pertikai, sama juga MIC membela orang India, jadi UMNO akan terus membela nasib orang Melayu,” katanya. Dr. Mohamad Khir berkata, pemimpin UMNO juga tidak seharusnya bersikap rasa bersalah dalam usaha menjayakan Dasar Ekonomi Baru (DEB), terutamanya bagi merapatkan jurang pendapatan orang Melayu yang masih ketinggalan berbanding kaum Cina dan India. - 12/8/2007
Sunday, August 12, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment