Monday, August 6, 2007

UMNO Bukan Parti Perkauman – Khairy



Oleh S.A Najmuddin
Kapar -- Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata UMNO merupakan sebuah parti yang mendukung dan mempertahankan prinsip perkongsian kuasa yang dijunjung di dalam Barisan Nasional (BN).
Justeru beliau menolak tanggapan sesetengah pihak khususnya parti pembangkang yang melemparkan pelbagai dakwaan kononnya UMNO terutama Pemuda merupakan sebuah institusi yang bersifat perkauman.
“Saya tidak pasti kenapakah UMNO dan Pemuda dianggap sedemikian rupa sedangkan selama ini kitalah yang bersungguh-sungguh mempertahankan formula perkongsian kuasa tersebut yang membolehkan BN terus memacu pentadbiran negara.
“Malah 'track record' UMNO tidak pernah sama sekali memandang rendah terhadap peranan parti-parti komponen sebaliknya memberi peranan yang cukup besar kepada mereka. Sebagai contoh pembahagian kerusi di kalangan komponen BN yang mana mereka diberi peluang untuk mewakili kaum-kaum lain sungguh pun kawasan berkenaan majoritinya adalah Melayu”, katanya.
Beliau berkata demikian kepada laman webPemuda selepas merasmikan mesyuarat Pemuda UMNO Kapar di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian, Datuk Abdul Rahman Palil, Ahli Parlimen Klang, P. Komala Dewi, Ketua Pemuda UMNO Selangor, Abd Shukor Idrus, Ketua Pemuda Kapar, Faizal Abdullah dan pimpinan UMNO yang lain.
Khairy yang juga Timbalan Pengerusi Pemuda BN seterusnya berkata banyak contoh lain termasuk pemimpin parti komponen BN bertanding di kawasan yang majoritinya orang Melayu.
“Walau pun ada tuntutan daripada ahli UMNO dan orang ramai di akar umbi yang mahukan kerusi berkenaan diberikan kepada calon Melayu, kita masih tetap dengan formula perkongsian kuasa di bawah payung BN.
“Jadi bagaimana kita dianggap bersifat perkauman. Saya rasa adalah tidak adil tanggapan sedemikian dilontarkan terhadap kita. Saya penuh yakin dan percaya formula perkongsian kuasa ini boleh dikekalkan untuk selama-lamanya kerana ini adalah formula yang terbaik”, ujarnya.
Terdahulu sebelum itu dalam ucapannya, beliau berkata kepimpinan politik negara telah berjaya memacu pembangunan dan kejayaan yang dikecapi oleh rakyat hari ini.
“Hari ini Malaysia sudah maju. Malah sempena 50 tahun Merdeka, negara telah mengorak langkah ke hadapan dengan pelbagai perancangan serta pelaksanaan yang telah dilakukan oleh kepimpinan negara.
“Sesungguhnya kejayaan kita hari ini bukanlah kerana sumber asli dan kepelbagaian sumber lain tetapi adalah kerana kepimpinan politik yang bijak semenjak kita merdeka pada tahun 1957”, katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda Kapar, Faizal Abdullah dalam ucapan alu-aluanya berkata pergerakan itu sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.
Jelasnya jentera di akar umbi hanya menunggu masa dan waktu sahaja untuk bergerak bagi memastikan BN terus bertapak di kawasan berkenaan termasuk merampas kembali kerusi Sg Pinang yang kini di tangan pembangkang.
“Kita sedia berdepan dengan mana-mana calon daripada pemimpin parti pembangkang termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya umum akan datang. Letaklah sesiapa sahaja, kita akan tentang habis-habisan”, katanya.

No comments: