Friday, August 3, 2007

Tidak wajar – Khairy


KUALA LUMPUR 2 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO menyifatkan tindakan Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) mengehadkan waktu operasi antara pukul 7 pagi hingga 10 malam adalah tidak wajar.
Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, ia menunjukkan seolah-olah pengendali stesen minyak cuba menyekat pengguna kenderaan daripada melakukan aktiviti harian mereka.
‘‘Saya berpendapat ia adalah satu tindakan yang tidak wajar, tidak harus ada batasan waktu untuk para pengguna melakukan aktiviti mereka.
‘‘Minyak adalah salah satu keperluan, jika ia (had waktu operasi) dilaksanakan akan menyusahkan pengguna dan menjejaskan ekonomi negara,’’ katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Himpunan Pemuda Merdeka di Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Beliau mengulas keputusan Persidangan Perwakilan Tahunan Ke-34 PDAM yang meluluskan resolusi supaya operasi stesen minyak di seluruh negara termasuk di lebuh raya dihadkan kepada pukul 7 pagi hingga 10 malam.
Mengenai ugutan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas, untuk keluar dari komponen Barisan Nasional sekiranya tidak diperuntukan kerusi pada pilihan raya akan datang, beliau berkata, ia bertentangan dengan prinsip parti.
‘‘Pemuda UMNO menganggap ia satu ugutan yang tidak boleh diterima dan cuba mengugut Pengerusi Barisan Nasional. Seharusnya mereka (ahli PPP) mempunyai semangat muafakat,’’ katanya.
Tegasnya, ugutan ini boleh menjejaskan persepakatan dan keharmonian antara parti menjelang pilihan raya umum yang akan datang.

No comments: