Monday, August 20, 2007

Kenapa pertikai aliran sekolah kebangsaan




Oleh MUHAMMAD ALIAS
DARI semasa ke semasa kedengaran cadangan supaya ditubuhkan sekolah pengantar bahasa Inggeris di Malaysia. Sekolah kebangsaan didakwa gagal menghasilkan graduan yang serba boleh. Bahasa Malaysia juga dikatakan bukan bahasa teknologi dan perdagangan antarabangsa.
Agak aneh juga apabila cadangan ini antara lain disuarakan oleh orang Melayu sendiri dan ketika beberapa pihak menyeru supaya bahasa Malaysia diguna pakai dengan lebih menyeluruh.
Malahan terdapat kritikan daripada orang luar tentang rakyat Malaysia yang tidak memberi keutamaan kepada bahasa kebangsaannya sendiri.
Lantaran itu faktor-faktor di sebalik cadangan seumpama ini perlu diberi perhatian serius.
Pengangguran ribuan graduan Melayu dikatakan kerana kelemahan bahasa Inggeris. Ini tidak dapat dinafikan. Mungkin kerana itu ada ibu bapa Melayu khususnya daripada golongan elit mahu anak-anak mereka belajar di sekolah Inggeris.
Kehidupan orang Melayu yang semakin mewah ekoran Dasar Ekonomi Baru (DEB) membolehkan mereka menghantar anak-anak ke sekolah Inggeris di dalam dan luar negara. Malahan di kalangan elit Melayu, bahasa Inggeris merupakan bahasa pertuturan di rumah.
Selain daripada itu rakyat Malaysia baik Melayu dan bukan Melayu merasa tidak senang kerana golongan elit menghantar anak-anak belajar di luar negara.
Sedangkan anak-anak mereka belajar di institusi-institusi pengajian tinggi tempatan baik milik kerajaan atau swasta.
Di samping itu, graduan-graduan lulusan luar negara lebih mudah mendapat pekerjaan. Selain daripada penguasaan bahasa Inggeris yang lebih baik, pemikiran mereka dikatakan lebih ‘bergeliga’ dibandingkan dengan graduan-graduan tempatan.
Di kalangan pejuang bahasa kebangsaan pegangan utama ialah bahasa melambangkan bangsa. Bahasa Melayu/Malaysia adalah identiti negara ini. Sama dengan bahasa Indonesia untuk negara Indonesia. Bahasa tidak boleh dinilai dari segi ekonomi semata-mata.
Faktor paling utama bahasa Melayu telah pun wujud dan merupakan lingua franca ketika kuasa-kuasa penjajah tiba ke kepulauan Melayu lebih lima ratus tahun lalu.
Bahasa Melayu juga merupakan bahasa yang digunakan dalam perjanjian-perjanjian antarabangsa melibatkan penjajah dan kerajaan-kerajaan Melayu di Nusantara.
Persoalannya, apakah kewujudan sekolah pengantar Inggeris dapat menyelesaikan apa sahaja masalah yang dikatakan sedang melanda Malaysia.
Sesuatu yang pasti terjadi ialah sekiranya ada pilihan, sebahagian besar ibu bapa di bandar-bandar akan menghantar anak-anak mereka ke sekolah pengantar bahasa Inggeris. Sementara sekolah kebangsaan hanya untuk rakyat di luar bandar. Senario yang pasti ialah negara akan kembali ke zaman sebelum merdeka.
Penulis amat bersetuju dengan pendapat (termasuk bukan Melayu) bahawa apa yang penting bukan mewujudkan sekolah aliran Inggeris. Sebaliknya sekolah kebangsaan mengajar beberapa bahasa etnik seperti Cina dan Tamil selain daripada bahasa Inggeris.
Penekanan ke atas pengajaran bahasa, baik bahasa apa sekalipun hendaklah dilakukan bersungguh-sungguh. Bukan sekadar ‘asal ada sahaja’.
Sikap hangat-hangat tahi ayam hendaklah dibuang jauh-jauh. Bermula daripada pembuat dasar hinggalah para pelajar sendiri.
Setiap pelajar dimestikan mempelajari dan fasih dalam bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan Tamil. Melalui sistem ini, ibu bapa dijangka lebih selesa menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan.
Syarat
Kelulusan mata pelajaran bahasa-bahasa ini merupakan satu syarat untuk lulus periksa.
Penulis tidak pernah mempersoalkan tentang pentingnya bahasa Inggeris dalam apa sahaja bidang yang diceburi. Termasuklah pengajian tentang agama Islam di Amerika Syarikat (AS) dan lain-lain negara yang bahasa pengantarnya bahasa Inggeris. Pada kala yang sama kenalah juga memikirkannya dari aspek kepentingan negara.
Tetapi penguasaan bahasa sahaja belum tentu dapat menjamin kualiti seseorang pelajar. Soal kurikulum juga perlu diberi perhatian serius. Di samping itu, persekitaran di sekolah-sekolah kebangsaan hendaklah sesuai untuk semua kumpulan etnik.
Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan tidak perlu dipertikaikan lagi. Ia dinyata dengan jelas dalam Perlembagaan.
Rakyat Malaysia perlu menghormati setiap perkara yang terdapat dalam Perlembagaan dan bukan sekadar peruntukan yang menguntungkan kumpulan tertentu sahaja.
Namun, soal bahasa akan terus meracuni pemikiran rakyat Malaysia selagi bahasa dijadikan isu politik. Parti-parti politik harus sedar bahawa tugas mereka bukan sekadar memperjuangkan hak-
hak kaum etnik tertentu sahaja sebaliknya kesejahteraan Malaysia keseluruhannya.
Masanya telah tiba bagi setiap parti politik melihat ke hadapan melintasi batas-batas kaum etnik masing-masing. Mereka harus sedar bahawa ciri-ciri kepimpinan seorang pemimpin menjadi teladan dan mempengaruhi pemikiran pengikut-pengikutnya.
Sebahagian besar rakyat negara ini tidak rela bahasa Malaysia sekadar menjadi bahasa kebangsaan yang tidak dipraktikkan.
Rakyat juga tidak mahu bahasa Malaysia sekadar menjadi bahasa untuk lagu kebangsaan tetapi tidak dimengerti oleh rakyat.
Indonesia, Thailand, Filipina malahan Amerika Syarikat sendiri telah menyelesaikan masalah bahasa kebangsaan mereka lama sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan. Lantaran itu tidak kedengaran lagi rungutan mengenai bahasa kebangsaan di negara-negara ini.
* DATUK MUHAMMAD ALIAS ialah bekas diplomat Malaysia.


No comments: