Thursday, August 9, 2007

GPMS Selar Pelajar Hina Lagu “Negaraku” Enggan Minta Maaf



Oleh Adnil Mohd
Kuala Lumpur -- Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) kesal dan kecewa dengan kenyataan Wee Meng Chee, pelajar Malaysia di Taiwan yang enggan meminta maaf di atas sikap dan perilaku beliau yang mengolah lagu Kebangsaan Negaraku yang menimbulkan rasa tidak puas hati seluruh rakyat Malaysia.
Pengerusi Biro Anti Dadah Dan Gejala Sosial GPMS, Mohd Faizal Mohd Salleh berkata sikap pelajar berkenaan yang masih berkeras dan tidak mengaku bersalah serta tidak mahu memohon maaf, memperlihatkan jati diri beliau yang tidak sensitif dengan kemarahan rakyat Malaysia terhadapnya ketika ini.
Tegas beliau sebagai seorang seorang anak Malaysia yang dilahirkan di bumi bertuah ini, pelajar berkenaan seharusnya tidak bersikap sedemikian.
“Kita ingin tahu apakah motif sebenar beliau di sebalik tindakannya itu.
“Sungguhpun tindakannya itu dianggap sebagai hiburan semata-mata, ia sama sekali tidak wajar kerana dalam suasana rakyat Malaysia yang berbilang kaum menyambut ulangtahun kemerdekaaan ke-50, dia sewenang-wenangnya mengubah lagu berkenaan semata-mata untuk kepuasan diri beliau”, katanya dalam satu kenyataan kepada laman webPemuda di sini, hari ini.
GPMS juga tambah beliau lagi kesal kerana pelajar tersebut turut menyentuh sensitiviti umat Islam dengan menyiarkan visual umat Islam sedang bersembahyang di dalam video klipnya yang dianggap sebagai hiburan.
“Kita bukan nak meniup api perkauman tetapi sebagai anak merdeka yang hidup dalam suasana masyarakat majmuk, yang terdiri daripada pelbagai fahaman agama dan kepelbagaian kaum, perkara itu tidak seharusnya dijadikan bahan hiburan untuk apa-apa tujuan sekalipun”, ujarnya.
Sehubungan itu kata beliau, GPMS mengalu-alukan langkah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan untuk membuat laporan polis ke atas pelajar terbabit yang dianggap sebagai penderhaka Negara atas tindakan biadapnya itu.
Tambah beliau sekiranya tindakan tegas ini tidak diambil, GPMS khuatir perkara ini akan menjadi satu budaya bagi pelajar-pelajar yang menuntut di luar Negara yang mengetahui bahawa kerajaan Malaysia tidak boleh mengambil apa-apa tindakan undang-undang terhadap mereka disebabkan mereka berada di luar Negara.
“GPMS berpendapat pihak kerajaan perlu meminda atau mengkaji semula peruntukan undang-undang agar apa-apa jua bentuk kesalahan yang boleh memudaratkan Negara atau menjatuhkan maruah Negara oleh warganegara Malaysia semasa berada di luar Negara boleh di ambil tindakan dan dibawa ke muka pengadilan”, katanya.


No comments: