Friday, September 21, 2007

Membela Isu Kemiskinan Bumiputra Di Bandar


Membela Isu Kemiskinan Bumiputra Di Bandar


Wan Emril Nizam Wan Embong
Respon Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil terhadap isu kemiskinan di bandar amat dialu-alukan dan tepat pada masanya.
Menurut beliau kemiskinan bandar dan luar bandar adalah antara perkara yang akan dinilai semula dan dimasukkan dalam kriteria baru bagi penentuan serta kelayakan untuk seseorang menerima bantuan kebajikan mulai Januari depan.
Ketika ini pemberian bantuan kebajikan tidak mempunyai perbezaan antara penduduk miskin di bandar dan luar bandar. Semua bantuan diberi sama rata mengikut kriteria yang tidak pernah diubah sejak 30 tahun lalu.
Namun demikian, masalah itu hanya selesai setakat itu sahaja, kerana apa yang penting di sini ialah pendekatan "teach them to fish" bukan hanya sekadar kita menyediakan peruntukan atau bantuan.
Hakikatnya ia bukan satu isu yang baru kerana kemiskinan di bandar sudah menjadi seakan satu polemik dan dilema khususnya dikalangan masyarakat Bumiputera yang mendiami rumah-rumah pangsa/flat dan kawasan setinggan.
Satu garis panduan baru dan takrif kemiskinan perlu didefinisikan semula termasuk mengambilkira pendapatan isi rumah di kawasan bandar dengan taraf sosioekonomi mereka.
Mekanisme baru itu amat penting bagi mendalami masalah sebenar masyarakat bandar serta menilai kembali takrifan kemiskinan bagi penduduk bandar.
Definisi berhubung isu kemiskinan sangat sempit kerana masyarakat memandang secara lahiriah iaitu faktor tempat tinggal dan pakaian semata-mata tanpa mengambil kira elemen lain yang turut menyumbang kepada kepayahan hidup.
Berbeza dengan masyarakat di kampung yang jelas miskin jika dilihat kepada keadaan rumah yang menanti rebah, takrifan kemiskinan di bandar sebenarnya lebih luas kerana ia lebih berfokus kepada kualiti hidup masyarakat itu sendiri.
Ada sesetengah keluarga di bandar nampak tiada masalah kerana tinggal di rumah pangsa atau penempatan setinggan tetapi apabila diselidiki secara lebih terperinci, keluarga itu mungkin berdepan masalah kualiti hidup yang sangat kritikal dan berhadapan dengan desakan hidup.
Secara perbandingannya, di luar bandar pelbagai projek pembangunan dan program pembasmian kemiskinan digerakkan beberapa agensi seperti Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Strategi dan program yang sama juga perlu dijelmakan di kawasan bandar dengan penumpuan kepada kualiti hidup masyarakat dan peningkatan taraf sosioekonomi.
Justeru itu, satu kajian terperinci dan menyeluruh perlu dilakukan bagi melihat semula garis kemiskinan di bandar supaya lebih memberi gambaran jelas situasi kemiskinan terutama di kawasan bandar besar yang adakalanya lebih kritikal berbanding di kawasan kampung atau tanah rancangan.
Mereka yang hidup di kawasan tanah rancangan umpamanya memiliki aset atau hartanah yang boleh diwariskan kepada anak cucu mereka sedangkan golongan yang berpendapatan rendah yang hidup di perumahan flat berhadapan dengan masa depan yang kelam terutamanya dalam aspek pemilikan harta.
Selain itu, faktor penghijrahan terlalu ramai masyarakat luar bandar ke bandar menjadi punca utama peningkatan kos sara hidup di bandar kerana ia secara tidak langsung meningkatkan kos sewa rumah apabila terlalu ramai bertumpu di sesuatu kawasan.
Natijahnya, muncul kelompok setinggan yang mengundang seribu satu mehnah kepada kualiti kehidupan masyarakat setempat.
Keadaan diburukkan lagi dengan kehadiran ramai rakyat asing, termasuk pendatang tanpa izin yang turut bertumpu kepada punca rezeki yang sama, terutama perniagaan kecil-kecilan dan kerja sampingan.
Ironinya, isu ini perlu dilihat dalam skop yang lebih luas merentasi masalah sosial semata-mata, kerana ia melibatkan tanggungjawab bukan hanya pihak kerajaan tetapi pihak swasta, NGO, pemimpin masyarakat dan ahli politik.
Kebanyakan badan bukan kerajaan atau gagasan ekonomi yang diwujudkan wajar menjuarai isu ini, selain peranan yang dimainkan oleh pemimpin politik dan wakil masyarakat.
Kita bimbang jika ia tidak dicari jalan penyelesaiannya segara, lambat laun anak bangsa kita akan merempat di tanahair sendiri.
Penulis Adalah Ahli Majlis Tertinggi GPMS Kebangsaan

1 comment:

Anonymous said...

salam.Dikawasan kulim bandar baharu juga masih bersepah melayu melarat dan merempat...