Friday, September 21, 2007

RM112b majukan ECER - Kawasan seluas 66,736km persegi dilancar PM bulan depan


RM112b majukan ECER - Kawasan seluas 66,736km persegi dilancar PM bulan depan


KUALA LUMPUR 19 Sept.- Sejumlah RM112 bilion akan dilaburkan untuk pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) meliputi Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, hujung bulan depan. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd. Hassan Marican berkata, jumlah itu adalah peruntukan dalam tiga Rancangan Malaysia (RMK) dengan 40 peratus daripadanya akan digunakan untuk meningkatkan rangkaian pengangkutan dan kemudahan asas yang menjadi penentu penting kepada pertumbuhan pembangunan di wilayah berkenaan. Katanya, Petronas merupakan perancang utama wilayah ekonomi itu, yang meliputi kawasan 66,736 kilometer persegi atau 51 peratus daripada keluasan Semenanjung Malaysia. “Daripada RM112 bilion itu, 20 peratus akan dibiayai oleh sektor swasta, 27 peratus melalui inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dan bakinya oleh kerajaan,” katanya selepas taklimat kepada pengarang-pengarang kanan mengenai ECER di sini, semalam. ECER akan dilancarkan di Kuala Terengganu dan Kota Bharu pada 30 Oktober dan di Kuantan pada 31 Oktober. Ia merupakan wilayah pembangunan ketiga yang akan dilancarkan oleh Abdullah tahun ini selepas Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor dan Wilayah Pembangunan Koridor Utara (Koridor Utara) yang meliputi negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia. Dengan jumlah penduduk sebanyak 3.9 juta, dianggarkan RM30,000 perlu dibelanjakan ke atas setiap individu di wilayah itu dalam tempoh pelaksanaannya dari sekarang hingga 2020. Bilangan penduduk di ECER merupakan 14.5 peratus daripada keseluruhan penduduk negara ini yang seramai 26.8 juta dan wilayah itu juga merupakan kawasan kediaman utama masyarakat bumiputera yang merupakan 86.6 peratus daripada penduduknya. Ia diikuti oleh China 7.8 peratus, India 1.8 peratus dan lain-lain 3.8 peratus. Peningkatan kemudahan jalan raya dan pengangkutan termasuk pembinaan fasa ketiga Lebuh Raya Pantai Timur dari Kuala Terengganu dan Kota Bharu, fasa empat Lebuh Raya itu yang menghubungkan Kuantan ke Johor Bharu dan jalan raya menghubungkan Temerloh ke Kuala Pilah. Selain itu, ia juga membabitkan pembinaan beberapa laluan jalan raya baru bagi menghubungkan ECER dengan wilayah-wilayah di Pantai Barat Semenanjung. Menurut Hassan, matlamat utama pelan pembangunan ECER adalah untuk mempercepatkan pertumbuhan di wilayah itu secara berdaya maju, seimbang dan mapan. Dengan itu, katanya, ia akan dapat menangani ketidakseimbangan di wilayah itu kerana negeri-negeri di ECER mencatatkan pendapatan purata isi rumah antara yang paling rendah di Malaysia. Pada ketika ini, Terengganu dan Kelantan adalah negeri yang mencatatkan kemiskinan tertinggi di Malaysia, yang mencatatkan 15.4 peratus dan 10.6 peratus kemiskinan di negara ini, dan diikuti oleh Pahang 4.9 peratus. Di bawah pelan induk ECER katanya, sejumlah 561,000 pekerjaan akan diwujudkan menjelang 2020 dan kemiskinan tegar disasarkan untuk dikurangkan kepada sifar. Selain itu, wilayah ekonomi itu juga bertujuan untuk menggerakkan ekonomi, meningkatkan keupayaan bagi mendapatkan pengetahuan dan inovasi, menangani ketidakseimbangan sosioekonomi yang berterusan, meningkatkan standard dan kualiti kehidupan dan mengukuhkan institusi dan melaksanakan keupayaan. Selain menangani masalah akses ke wilayah itu, ketidakseimbangan dengan wilayah-wilayah lain di pantai barat dan kemiskinan tegar, ECER juga bermatlamat untuk menangani ketidakseimbangan pendapatan antara penduduk bandar dan luar bandar. “Pada masa yang sama ia juga akan menangani masalah infrastruktur asas, serta mengoptimumkan sektor hartanah, yang termasuk untuk meraih potensi Tanah Simpanan Melayu. “Antara idea untuk mengoptimumkan Tanah Simpanan Melayu ialah secara mewujudkan satu amanah yang akan memajukan tanah berkenaan,” katanya. Ini kerana Tanah Simpanan Melayu mewakili 40 peratus daripada tanah di ECER. Hassan berkata, lebih 190 institut latihan dan institusi pengajian tinggi sedia ada yang terdapat dalam ECER juga akan dimaksimumkan peranannya supaya ia bukan sahaja untuk melatih orang tempatan meningkat ke rantaian nilai malah menarik mereka yang berada di luar untuk belajar di sana. Selain pendidikan, katanya, sektor lain yang telah dikenal pasti untuk menyegarkan wilayah itu ialah pelancongan, minyak dan gas, petrokimia, pembuatan dan pertanian. “Teras ECER ialah pertanian dan pelancongan,” katanya. Mengenai pertanian, Hassan berkata, ia akan termasuk penanaman limau (sitrus), nanas, pemeliharaan kambing, penanaman herba dan pokok getah khusus bagi mendapatkan kayu yang akan digunakan untuk pembuatan perabot. “Kami telah mengenal pasti kawasan 20,000 hingga 40,000 hektar bagi penanaman pokok getah untuk mendapatkan kayu,” katanya. Dengan itu, katanya, aktiviti pembuatan perabot, yang kini tertumpu di selatan Semenanjung, akan tertarik ke ECER. Bagi menarik pelaburan langsung asing (FDI), Hassan berkata matlamatnya ialah untuk menarik semua jenis FDI, sama ada besar atau kecil, dalam bidang seperti pelancongan, pembuatan dan pendidikan. Katanya, Petronas hanya bertanggungjawab untuk membangunkan pelan induk tersebut dan ECER akan diuruskan oleh sebuah majlis yang anggotanya termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar keempat-empat negeri, dua menteri Kabinet dan para wakil sektor swasta. Petronas bagaimanapun katanya, akan menjadi salah satu wakil sektor swasta dalam majlis berkenaan yang akan mengendalikan ECER. “Ia akan mempunyai satu majlis, rang undang-undangnya yang sedang digubal akan dibentangkan di Parlimen pada Disember ini,” kata Hassan. --UTUSAN MALAYSIA

No comments: