Melayu tiada pilihan -- Mesti maju 2020, gesaan PM sempena 60 tahun
JOHOR BAHRU 11 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengajak seluruh orang Melayu berusaha gigih untuk mencapai kejayaan bagi memastikan mereka muncul sebagai kaum yang maju pada 2020. Menurut Presiden UMNO, orang Melayu tiada pilihan lain, kecuali menjadikan inisiatif itu satu kejayaan dan pada masa itu kelak, ia akan menjadi satu lagi hadiah yang amat bermakna kepada kaum Melayu. Katanya, jika sebelum ini Datuk Onn Jaafar menghadiahkan orang Melayu erti bekerja berpasukan, UMNO pula menghadiahkan nilai kemerdekaan kepada mereka. ``Kita ada tahun 2020 dan kita perlu menjadikan ia sebagai satu inisiatif yang perlu dicapai kerana kita mahu pada tahun 2020 ia menjadi satu lagi hadiah kepada bangsa kita. ``Jangan kita lepaskan peluang ini (Wawasan 2020) kerana kita mahu pada ketika itu negara Melayu bangsa maju, negara Malaysia negara maju,'' tegas beliau. Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 60,000 ahli-ahli UMNO sempena ulang tahun parti itu ke-60 di pekarangan Istana Besar Johor di sini hari ini. Turut sama pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Timbalan Presiden UMNO, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain. Bekas Perdana Menteri yang juga bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali adalah antara yang turut menghadiri sambutan itu. Turut serta ialah bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Musa Hitam serta beberapa orang bekas menteri Kabinet. Signifikan sambutan ulang tahun kali ini ialah ia dirayakan di tapak yang sama di mana Onn Jaafar menubuhkan parti itu 60 tahun lalu. Perdana Menteri yang berada di sini sejak semalam untuk merayakan ulang tahun UMNO itu menegaskan, bagi tujuan tersebut, para pemimpin parti hari ini perlu menjadikan ia sebagai satu Misi Nasional. ``Kita mesti dukung ia dengan erat dengan kekuatan dan kesedaran yang penuh bahawa kita mahu menjadi bangsa yang maju pada tahun 2020. ``Mudah-mudahan para pemimpin kita ketika itu (tahun 2020) akan dapat bangun dengan penuh kesyukuran kepada Allah dan berasa megah untuk mengumumkan kepada bangsa kita dan seluruh negara bahawa bangsa kita (telah) maju dan negara kita (telah) maju,'' katanya sambil disahut dengan laungan `Hidup Melayu'. Bagaimanapun, katanya, adalah amat malang dan memalukan jika ketika itu para pemimpin terpaksa bangun dan memberikan pelbagai alasan yang panjang lebar selain meminta maaf kerana apa yang diharapkan tidak terlaksana. ``Tentunya amat mengecewakan jika ketika itu ada suara-suara dari dalam UMNO sendiri yang mendesak supaya jangan diumumkan kerana (kita) belum bersedia untuk diumumkan sebagai bangsa yang maju. ``Jika ini terjadi, ia adalah sesuatu yang amat menyedihkan. Oleh itu kita tiada pilihan kecuali memastikan kejayaan kerana ia adalah hanya pilihan yang ada,'' katanya sambil disambut tepukan bergemuruh. Abdullah berkata, beliau berharap tuhan akan memberkati sesuatu usaha yang dijalankan secara bersungguh-sungguh dan ikhlas dengan didorong oleh ilmu pengetahuan, muafakat dan kerjasama yang disokong oleh rakyat. Katanya, seluruh perjuangan adalah ibadah dan bebaskanlah ia daripada noda seperti perbuatan rasuah, penyelewengan atau apa-apa sahaja yang boleh mencacatkan amalan (ibadah) itu yang menyebabkan ia menjadi tidak baik dan tidak memberi manfaat. ``Kita perlu bekerja keras dan berdoa kerana doa tidak akan termakbul tanpa kerja yang bersungguh-sungguh dan ikhlas. ``Apabila kita telah bekerja bersungguh-sungguh dan kemudian kita berdoa, kita perlu yakin dan bertawakal. Insya-Allah kejayaan akan menjadi hak kita,'' katanya sambil menegaskan agar semua berjuang untuk masa depan bangsa yang cemerlang. Terdahulu dalam ucapannya, Presiden UMNO itu berkata, pengasas parti itu Allahyarham Onn Jaafar telah berjaya menyatupadukan orang Melayu dari pelbagai suku, manakala pemimpin kedua parti, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra pula berjaya membawa kemerdekaan kepada bangsa dan negara. ``Allahyarham Tunku berjaya memerdekakan bangsa dan negara, dan ia adalah suatu hadiah yang amat penting,'' katanya. Abdullah berkata, presiden parti seterusnya Allahyarham Tun Hussein Onn, Allahyarham Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Mahathir pula berjaya mengisi kemerdekaan yang dicapai itu dengan pelbagai usaha pembangunan bangsa serta negara. ``Selepas hadiah-hadiah ini, sekarang jadikanlah kejayaan kita untuk muncul sebagai bangsa dan negara yang maju pada tahun 2020 sebagai hadiah seterusnya,'' kata Abdullah sambil disambut dengan laungan-laungan `Hidup Melayu'. Menurutnya, dalam usahanya menjadikan orang Melayu sebagai bangsa yang maju pada 2020, UMNO menitikberatkan program-program pembangunan modal insan di kalangan bangsa menerusi pendidikan. Dalam ucapan beliau yang mengambil masa kira-kira 45 minit itu, Perdana Menteri berkata, menerusi perjuangan UMNO, orang Melayu berjaya mencapai pelbagai kejayaan berbanding ketika bangsa dan negara berada di zaman penjajahan. Beliau memberi contoh bagaimana hasil usaha penyelidik negara termasuk para saintis Melayu yang berjaya mempelbagaikan lagi hasil yang diperoleh daripada pokok kelapa sawit, sekali gus menambah kekayaan negara. Menurutnya, kejayaan menghasilkan biofuel itu akan membantu negara menghadapi keadaan lonjakan harga minyak petrol ketika ini.