Thursday, September 13, 2007

Bajet 2008: Penekanan Ke Arah Modal Insan Mampu Bawa Kesejahteraan

Bajet 2008: Penekanan Ke Arah Modal Insan Mampu Bawa Kesejahteraan

Oleh Ropikah Ahmad

KUALA LUMPUR: Pembentangan Bajet 2008 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Kewangan dianggap memberi penekanan ke arah pembentukan modal insan yang lebih cemerlang dan ini akan menjadi satu penggerak ke arah pembangunan dan kesejahteraan negara secara berterusan.

Bendahari UMNO, Datuk Abdul Azim Zabidi menyatakan keyakinannya terhadap Bajet 2008 yang akan mampu mengerakkan usaha melahirkan modal insan berkualiti kepada negara apabila memberi penumpuan kepada sistem pembelajaran negara.

“Pengumuman tersebut bukan sahaja memberi peluang penuh kepada pelajar mendapat kemudahan, malah ia akan turut mengurangkan bebanan ibu bapa dalam membiayai persekolahan anak-anak mereka,” katanya.

Beliau menyatakan bahawa tumpuan kerajaan dalam memberi kemudahan dan kesenangan kepada pelajar adalah cara terbaik dalam menghasilkan modal insan cemerlang kepada negara pada masa depan.

Bajet 2008 yang bertemakan ‘Bersama Membina Negara dan Menikmati Kemakmuran,’ telah memperuntukkan RM176.9 bilion, 10.9 peratus lebih tinggi berbanding dengan Bajet 2007.
Bajet kali ini dianggap oleh memberi pelbagai imbuhan kepada semua golongan rakyat daripada kanak-kanak tadika, kakitangan awam, petani dan ahli perniagaan sehinggalah warga emas dan orang kurang upaya (OKU) sendiri.

Dalam masa yang sama, bajet ini memberi tumpuan kepada tiga strategi utama - mempertingkatkan daya saing negara, memperkasa pembangunan modal insan dan menjamin kesejahteraan rakyat.

Bajet 2008 ini turut menangani soal kenaikan kos sara hidup rakyat menerusi penambahan pendapatan boleh guna rakyat.
Menerusi Bajet ini, perbelanjaan kerajaan akan terus ditumpukan kepada membina kapasiti untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan melalui penyediaan infrastruktur, kemudahan awam, pendidikan dan perkhidmatan sosial, termasuk kesihatan serta kebajikan rakyat.

Sebanyak RM128.8 bilion diperuntukan bagi mengurus manakala RM48.1 bilion untuk pembangunan.

Pembangunan yang dicapai merangkumi pembinaan kapasiti melalui pelaburan dalam infrastruktur fizikal, pendidikan dan latihan serta kemudahan awam.

No comments: